Wednesday, September 8, 2010

ISCF SHARING


SIAPKAN JALAN

Lebih 20 tahun yang lalu, semasa di Tingkatan 4 &5, saya telah dilantik menjadi salah seorang AJK ISCF di SMK Long Lama, Baram. Seingat saya, saya bukanlah seorang pemimpin ISCF yang berkaliber atau berkarunia luarbiasa pada masa itu. Mungkin hanya 1 atau 2 kali saja saya ada peluang untuk memimpin pujian, jauh sekalilah hendak mengongsikan Firman Tuhan. Aktiviti ISCF menjadi satu pertemuan yang sangat dinanti-nantikan setiap minggu. Saya kurang ingat sumbangan besar saya yang lain untuk ISCF. Saya rasa sumbangan terbesar saya adalah tidak pernah ponteng ISCF J.

Perkara lain yang paling saya ingat tentang ISCF kami adalah semangat(zeal for God) yang dimiliki oleh 2 orang guru ISCF kami iaitu Cikgu Lai Ngit Sin dan Cikgu Jie Jin Lung. Selain mereka, Cikgu Teh Teik Seng dan Miss Ling Nyuk Moi serta Cik Usun Anyie (kerani sekolah) akan bergilir-gilir membantu menyampaikan Firman Tuhan kepada kami. Sekali sekala Encik Xytus Jok akan datang berkongsi Firman Tuhan kepada kami. Jika ada kem muda-mudi yang dianjurkan oleh daareh Baram pada masa itu, guru-guru tidak pernah gagal untuk membawa rombongan ISCF menghadirinya. Dari sanalah benih-benih iman tumbuh dalam hidup saya. Guru-guru ISCF telah mengimpartasi sesuatu yang ‘kekal’ dalam hidup saya.

Saya menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat saya melalui salah satu kem yang saya hadiri. Saya dibaptis air semasa Tingkatan 3 dan di Tingkatan 5 saya dibaptis dalam Roh Kudus. Walaupun saya agak kurang menonjol dari segi kepimpinan pada waktu itu, hati saya sangat berkobar-kobar untuk melayani Tuhan. Apabila tamat Tingkatan 5 dan memasuki universiti di bandar, perkara pertama yang saya cari adalah persekutuan pelajar-pelajar Kristian dan gereja untuk beribadah pada hari Ahad. Saya bersyukur saya tidak pernah ada keinginan untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti remaja yang kurang sihat terutama apabila sudah berjauhan dengan keluarga. Saya sentiasa dibimbing oleh pemimpin-pemimpin rohani sepanjang belajar di peringkat tinggi sehingga saya berkahwin dengan orang yang tepat.

Pada tahun ini, saya telah dapat berhubung semula dengan guru-guru ISCF saya. Cikgu Lai telah upload banyak gambar aktiviti ISCF kami dulu-dulu dan kami semua sangat teruja tentang itu. Bila saya melihat semula gambar-gambar lama ISCF, saya sedari bahawa beberapa orang dari kami telah melayani Tuhan sepenuh masa dan cikgu-cikgu kami sangat bangga dan bersyukur tentang ini. Sekarang, barulah saya faham bahwa walaupun sumbangan saya sangat kecil dalam ISCF dulu, Tuhan sebenarnya sedang mempersiapkan jalan untuk saya bagi pelayanan yang lebih besar. Saya tetap bersemangat bersama pelajar-pelajar ISCF saya sekarang di sekolah, saya tahu saya bertanggungjawab mempersiapkan pemimpin-pemimpin rohani (men & women of God) yang kuat dan teguh iman di dalam bidang pekerjaan masing-masing pada masa depan. 

 Belakang : Usun Anyie, Winniefred, Christina, Saya, Dora Young, Dina, En. Lai.
Duduk: Xytus Jok, En. Jie, Saging, Wan Ngau. 
  Usun Anyie, Xytus Jok dan Wan Ngau sekarang telah menjadi Pastor, saya dan Miss Ling adalah isteri pastor. Beginilah Tuhan mempersiapkan jalan kami. Sekian, Tuhan memberkati kita dalam pelayanan ISCF selama-lamanya, Amen.

Disediakan oleh:
Dora Ajeng